Monday, June 13, 2011

PTPTN dan jaminan perjalanan


Bismillah ...

Tajuk cliche namun benar-benar terjadi pada diri saya. Ya dengan ketentuanNya lah saya dan ibu bapa memilih untuk mengambil pinjaman pendidikan PTPTN hampir 7 tahun yang lalu. Kerana keluarga tidak mampu untuk membiayai kos2 perbelanjaan di universiti memandangkan bilangan ahli keluarga saya yang agak ramai.


2004- setelah berjaya menamatkan pengajian diploma, saya melanjutkan pula pengajian ke peringkat degree.

Bermula di tahun 2005. Semester pertama sahaja saya telah dikejutkan dengan berita oleh kawan-kawan sekelas dimana PTPTN sudah mula menuntut kami membayar semula pinjaman yang diambil secara bulanan.

Masakan?!

Nafas masih tercungap, gigi bongsu belum tumbuh, sudah dituntut membayar ansuran?



Lalu kami beramai-ramai ke pejabat PTPTN di Jalan Semantan. Menaiki kereta kancil Silver seramai 5 orang. Minyak kereta di tong-tong. Surat permohonan penangguhan bayaran balik kami ditolak. Entah mengapa. Sedangkan surat tawaran degree sudah diusulkan sebagai bukti kami belum bekerja. Yang kami masih menuntut.

Lalu bagaimana?

Buntu tetap buntu.

Lalu saya diantara yang lain mengabaikan tuntutan PTPTN untuk membayar ansuran bulanan dan teruskan pengajian..

2006 saya mula bekerja. Namun tidak tetap. Berhenti, bekerja, berhenti, bekerja. Dan sedikit sekali memikirkan tentang PTPTN.

Sehinggalah pada 2010 waktu dikaunter imigresen di KLIA saya ditahan pegawai waktu pengesahan passport untuk berlepas ke Indonesia. Disitulah bermulanya ‘nightmare’ saya. “Anda disenaraihitam imigresen kerana tunggakan PTPTN”.

Aduh.



Tak dapat digambarkan perasaan hampa dan sangat kecewa.

Mulanya ibu bapa yang saya salahkan. Kerana yang lain yang tidak menyambung belajar bersuka ria di luar negara. Waktu itu saya berhasad dengki. Sangat sakit hati melihat keluarga dan kawan-kawan yang bebas keluar masuk berlepas ke negara-negara jiran.

April 2011, saya ke pejabat PTPTN di KL Sentral atas nasihat para sahabat. (Kudos kepada mereka). Saya meminta penyata tunggakan terkini dan membuat rayuan untuk membuang nama saya yang disenarai hitam PTPTN. Mereka bersetuju dengan syarat= saya mesti membayar sekurang-kurangnya RM3000 sebagai jaminan/deposit.

Gulp.

Satu jumlah yang tidak begitu banyak. Cuma payah untuk dibayar sekelip mata.

Perbandingan tanggungan saya sendiri disana sini. Ini saya akui atas kesilapan tangan dan kependekan akal membuat keputusan 3-5 tahun lalu. Dimana saya punyai sikap “profound in human’s view” atau terlalu memikirkan anggapan orang lain. (rujuk penulisan: Pemutusan Saya Pemuasan Dia) Dimana keputusan yang saya furqankan lebih kepada menurut hawa nafsu dan persepsi manusia, bukan menurut kehendakNya.

Nah, tempiasnya dirasakan kini.

Setelah ke pejabat KWSP untuk mendapatkan penyata akaun saya (akaun 1 dan 2) saya sangat bersyukur. Ya Allah, kenapa saya katakan ini ketentuanNya? Kerana tidak pernah selama saya bekerja disana sini saya memikirkan tentang jumlah simpanan yang saya ada di akaun ke 2 saya. Dan bakinya cukup bukan sahaja untuk membayar RM3000 sebagai deposit tersebut, tapi cukup untuk membayar keseluruhan tunggakan.

Alhamdulillah.

Jika ikut hawa nafsu pasti saya akan mengeluarkan RM3000 sebagai minimum bayaran untuk mengeluarkan nama saya dari senaraihitam. Tapi tidak kali ini. Saya tahu, ini adalah satu jalan untuk saya mulakan pembayaran saya dengan PTPTN dan juga liabiliti2 saya yang lain dengan tenang dan teratur. Biarlah mungkin dilihat rugi atau cetek akal. Itu bukan lagi menjadi wadah saya untuk membuat keputusan dalam hidup saya kini.

Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kamipun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.



[Al An'aam:44]


Saya tidak lagi mahu berada di dalam kesenangan sementara, dan tidak mahu berputus asa sedangkan pintu langit itu masih terbuka luas untuk sekalian umatNya.

4 perkara sahaja yang KWSP perlukan bagi tujuan pengeluaran pendidikan:

1) Salinan I/C

2) Salinan Surat Tawaran dan Perjanjian PTPTN yang disahkan PTPTN (RM90 untuk mendapatkan naskah Salinan dari PTPTN jika salinan asal hilang).

3) Salinan Penyata Tunggakan Terkini yang disahkan oleh PTPTN (dipos pada saya)

4) Salinan transkrip atau sijil diploma/degree (bawa sekali yang original sebagai pengesahan pegawai KWSP).

Hari ini dengan tekad saya ke pejabat KWSP. Mulanya saya tidak bawa copy 2) dan 3) yang dicop. Saya hanya membawa salinan fotostat sahaja. Lalu permohonan saya tidak dapat diproses. Berbekal RM20 saya naik teksi ke pejabat semula dan mengambil semula salinan2 yang dicop asal oleh PTPTN dan kembali ke pejabat KWSP dengan termengah2 dan berpeluh2.

Detik pegawai itu berkata “permohonan diterima, proses ambil 1-2 minggu” hampir-hampir sahaja saya menjerit. Keluar dari pejabat KWSP saya memandang langit dan berbisik
Ive taken your challenge God! Hanya kerana Kau aku lakukan ini semua”.



Tabayyun.

Tabayyun secara bahasa memiliki arti mencari kejelasan tentang sesuatu hingga jelas benar keadaannya.

Jelas sekali apabila difikirkan logik akal, hanya kerana PTPTN perjalanan saya untuk terokai dunia terbatas. Dan kerana PTPTN jugalah saya sampai disini, melalui itu ini hingga saat ini. Hingga hari ini.

Alhamdulillah jika tidak kerana perjalanan saya disekat, mungkin tidak saya akan sampai ke tanah suci, mungkin tidak sampai saya menimba ilmu haq, mungkin tidak sampai saya disana.

Persisnya saya mungkin ke Venice-tempat idaman saya sejak kecil menyusuri sungai Venice bersama gondola dan iringan muzik jalanan berbiola dan accordion, atau ke Norway berenang bersama whales di lautan biru.

Senyum.

Ketentuan Allah itu rumit. Tetapi janji Allah itu pasti. Hari ini terjumpa sebaris ayat janji Allah pada umat yang berkehendak padaNya:-

Allah berfirman:
"Ini adalah jalan yang lurus, kewajiban Aku-lah (menjaganya)
[Al Hijr:41]

Apa perlu saya takuti jika Dia telah memberi jaminan sebegini rupa?

Dalam sebuah hadis ringkas berbunyi:-

“Tiada hijrah (ke Madinah) selepas pembukaan kota Makkah, tetapi yang kekal wujud hanyalah jihad dan niat. Apabila kamu diseru untuk berjihad hendaklah kamu menyahutnya,”



[Riwayat Al-Bukhari no.2575, Muslim no.2412]

Imam Al-Nawawi menjelaskan hadis ini dengan menyatakan bahawa umat Islam masih berpeluang mendapat pahala seumpama hijrah dengan menunaikan kewajipan berjihad.

Lalu sekecil-kecilnya jihad saya untuk membaiki diri dan mendekatkan diri padaNya adalah dengan menyelesaikan ‘isu-isu kambing’ semasa ini. Yang saya sendiri telah memilih dan kesannya dirasakan hingga ke hari ini. Bukan sesalan yang perlu saya tegaskan, tetapi pengajaran yang dapat dikongsikan bersama-sama yang lain. Mungkin ada diantara kita menghadapi permasalahan yang sama, jika tidakpun mungkin diberi ketentuan (baik/buruk) dari sudut yang berbeza. Cuma penekanan penulisan hari ini adalah untuk kita sama-sama fikirkan hal yang utama (priority) yang menjadi tujuan kita memilih sesuatu jalan/keputusan itu. Nyatanya priority utama adalah kerana Allah semata. Apabila Allah diberi penekanan utama sebelum membuat keputusan, pastinya pecahan-pecahan priority yang lain akan menjadi baik. Samada untuk diri sendiri, mahupun kepada orang disekeliling kita. Setelah priority dikenalpasti, keputusan/pilihan kita akan lebih menjadi mudah untuk dilakukan. Priority inilah akan menentukan nilai pegangan yang kita pegang/prinsipkan untuk mencapai sesuatu.

Memetik penulisan “Apa itu nilai dan bagaimana ia terbentuk” oleh Saudara Pahrol Mohd Judi, beliau menyimpulkan bahawa masalah manusia bukan tidak boleh berjaya, tetapi masalah sebenar ialah manusia tidak tahu apa itu kejayaan yang sebenarnya.

Seperti mana keyakinan Zaid bin al-Dathinnah terhadap Rasulullah S.A.W dengan mengatakan “aku lebih rela mati dari melihat Rasulullah tercucuk duri”. Bagi kaca mata dunia, kenyataan ini tampak bodoh, tetapi tidak dari kaca mata Islam yang sebenar. Itulah antara kata-kata orang yang yakin. Bukan was-was.

Walaupun hasil titik peluh 7 tahun saya bekerja bakal tiada sekelip mata, namun teringat juga saya ungkapan Affan bin Muslim, “rezeki kita berasal daripada Allah”.

Doa saya untuk diselesaikan permasalahan kambing ini sudah termakbul. Jalan-jalan yang dulu tampak gelap sudah cerah.



Sekali lagi Dia membantu memberi sinar...

No comments:

Post a Comment