Friday, January 7, 2011

Sahabat yang pergi….

Telah banyak penulisan yang membincangkan tentang beza kawan dan sahabat. Secara amnya sahabat itu adalah seorang kawan yang kita percayai, yang kita kasihi hampir atau sama seperti kita kasihi keluarga kita sendiri. Sahabat adalah seorang yang kita boleh berkongsikan hampir segalanya tidak kira baik atau buruk apa yang dikongsikan kita itu…sahabat adalah seorang yang yang kita senang untuk bertemu, seorang yang kita rasa selesa untuk menjadi diri kita dihadapannya, seorang yang tahu kelemahan kita tapi tidak pernah menganggap kelemahan itu sebagai penyebab untuk dia mengurangkan kepercayaan dan penilaian peribadinya terhadap kita. Sahabat adalah seorang yang kita boleh menjadi tulus apabila bersuara, yang juga hampir-hampir sehaluan dengan hala tuju pilihan gerak langkah hidup kita. Dan sahabat juga ada bila kita senang dan susah. Apabila kita senang kita mencarinya, apabila susah dia mencari kita…Itulah sekilas mengenai sahabat. Namun di sini bukanlah definisi sahabat yang saya ingin kupaskan. Melainkan berita dukacita saya mengenai seorang sahabat yang melangkah pergi meninggalkan saya dan sahabat-sahabat kami yang lain… ternyata tidak akan saya meletakkan ‘posting’ ini disini jika ia bukan sesuatu yang saya anggap penting. Kerana apa sahaja penulisan saya disini jika dipandang enteng oleh antara kalangan pembaca, nyatanya tidak pernah sekali saya memandangnya dari perspektif begitu. Jika tidak punya impak terhadap saya, tidak mungkin saya berjaga selewat ini untuk meluahkan apa yang saya fikirkan sejak 2-3 minggu ini di entri saya kali ini.

Walaupun tidak sampai 5 tahun kami mengenali antara satu sama lain, tetapi dia sangat istimewa bagi saya. Bagi saya secara fizikalnya dia mempunyai kecantikan yang klasik. Klasik menurut definisi serta pandangan saya adalah seperti kecantikan klasik yang ada pada seniwati Latifah Omar, juga kecantikan klasik pada supermodel Claudia Schiffer. Itu nilaian saya padanya. Dan sangat tenang juga bila saya berbicara dengannya, wajahnya sukar untuk menggambarkan dirinya sedang gusar atau sedang bersedih. Itu kelebihannya yang saya kagumi. Bersifat sangat terbuka, sangat kritis dan sopan apabila melontarkan pandangan dan hujah. Dia sangat sensitif, sangat peka dan ada punyai sifat ‘profound in human view’ (rujuk entri saya bertajuk ‘Pemutusan Saya, Pemuasan Dia’). Mungkin pada sesetengah orang dia hanya gadis biasa. Tapi tidak pada saya.

Namun 2 minggu lalu dia sepi tanpa berita. Saya cuba hubunginya tapi tidak pernah berjawab, dan SMS juga tidak saya terima. Dan tiba tiupan angin membawa berita bila sahabat-sahabat kami yang lain juga terputus hubung silah dengannya. Saya tertanya-tanya…justeru pelbagai perkara yang saya dapat uraikan sedikit-sedikit. Bahawanya dia punyai masalah peribadi yang agak berat. Memang kami tahu dia punya masalah. Tapi tidak sedikit pun saya cuba untuk tidak mengendahkan masalahnya. Saya cuba membantu sedaya mungkin. Malah melakukan perkara-perkara yang tidak wajar saya lakukan jika saya menganggapnya hanya sebagai seorang kawan biasa. Kerana atas dasar sahabat, walau sekelumit pun masalahnya akan saya cuba bantui. Tapi ini masalah yang berat. Dan pelbagai perbincangan, perbicaraan berasaskan Al-Quran dan melalui syariat-syariat Allah telah dijadikan asas untuk membantu menyelesaikan masalahnya. Dan sunnah-sunnah Nabi juga dijadikan aspek-aspek contoh insan-insan Allah yang juga tidak sedikit pun dapat lari dari kepayahan dan ketentuan Allah. Dia tahu kami mencuba sedaya mungkin. Dan banyak juga yang dia tidak tahu apa yang telah diusahakan untuknya dengan perbicaraan lanjut secara formal dikalangan abi-abi yang lebih ilmu didada di malam-malam hari bulan Muharram yang lalu. Banyak juga yang dia tidak tahu apa yang direncanakan untuk dia memperoleh kebaikan di masa akan datang. Tidaklah ingin saya mengungkit semua ini atas niat yang tidak baik melainkan hanya untuk mematerikan apa yang seorang sahabat akan lakukan untuk bersama-sama dengannya tatkala dia dirundung kekecewaan yang amat.

Namun kini dia melangkah pergi. Begitu sahaja tanpa pesan, tanpa amanat , tanpa bicara. Perginya bagaikan perginya matahari di senja hari menggantikan hari dengan waktu malam. Terasa ia masih ada, namun ia sudah menghilang. Itulah yang saya rasakan. Tidak juga setitik air mata saya tumpah apabila mendapat berita pemergiannya kerana ia bagaikan satu berita yang saya hampir-hampir sahaja tidak saya percayai. Saya masih dikeadaan bingung. Masih dilamunan yang lagi tercongak-congak itu ini sebab mengapa dia pergi. Masih lagi sehingga kini berkeadaan begini setelah minggu-minggu berlalu. Rindu dan kosong. Kosong kerana saya mulai rasa saf-saf sahabat yang saya kasihi sudah tidak berpenghuni. Rindu kerana hilangnya satu sungai yang saya amat kagumi kerancakannya mengalir dan kesuciannya memberikan zat-zat pada semua perkara berkaitannya. Sungai yang menyumbangkan kepada kekerasan batu-batu didalam dan disekelilingnya. Sungai yang menyumbangkan kesegaran dan kehijaun rumput, dan pohon-pohon disekelilingnya. Sungai yang memberi kelegaan pabila manusia kehausan meminum airnya. Dan sungai yang membersihkan segala macam kekotoran dan memberikan peluang sumber kehidupan didalamnya untuk menjalani kehidupan mereka.

Mengapa begitu sahaja sahabat-sahabatnya ditinggalkan? Sedangkan pernah berkali dia berkata ini adalah satu rentak kehidupan yang sudah dia pilih. Sedangkan dia berkali berkata ini adalah satu jalan suci yang akan dia cuba sumbangkan yang terbaik untuk mencapai falah yang haq suatu hari nanti. Mengapa dia berundur? Bukan kerana jalan ini malap. Bukan kerana jalan ini sempit. Bukan kerana jalan ini bathil. Bukan kerana jalan ini bukan yang terbaik. Itu saya pasti. Tapi atas dasar manusia dijalan ini sendiri. Samada dia sendiri ataupun manusia selain dia. Pasti. Namun mengapa kerana atas sebab ‘manusia’ (diri sendiri/orang lain) dia berputus asa? Mengapa begini zalimnya dia meninggalkan syariat Allah untuk SETIAP manusia yang sudah di tunjukki Al Fatihah:6-jalan yang lurus itu? Mengapa begitu akurnya dia terhadap garis furqannya ketika dia sudahpun dibawa ke cahaya terang benderang Allah menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji- Ibrahim:1. Ketika dia sudah berjanji bakti kepada Allah S.W.T untuk bersama-sama menegakkan yang haq pada bulan August 2008 dahulu?

Dukacita. Saya sangat dukacita.

Demi Allah ya Tuhan, Al Hakam, Al Raqib… Kalaulah saya tahu dia akan pergi meninggalkan saya, sanggup saya ganti tempatnya apabila dia hadapi masalah berat itu. Andainya dia tahu hampir-hampir terduduknya saya pabila berita pemergiannya sampai pada saya waktu itu…Jika dia tahu sehingga saat ini degupan jantung saya terlalu perlahan saya rasakan kerana hilangnya dia memutuskan hubungannya dengan sekalian sahabat …Demi Allah ya Tuhan, kepada Kau aku berdoa dengan sejujur-jujurnya agar dia - sahabatku kembali bersama. Dan jika ketiadaan dia menjadi nisan akhir perhubungan kami, tempatkanlah dia disyurgamu atas kekhilafan dia membuat pemutusan ini. Maha Suci Engkau ya Rabb, bukanlah aku ini sahabat pada dirinya kerana begini pengakhirannya yang dia pilih..

2 Safar 1432H
0103hrs

No comments:

Post a Comment