Friday, March 4, 2011

Hargai Diri


Hari pertama menghadiri NLP (Neuro Linguistic Programming) sudah banyak memberikan input-input yang dapat digunakan bukan sahaja dalam diri sendiri, malah untuk keluarga, dan di tempat kerja.

Antara topik yang saya ingin kupaskan disini adalah mengenai ‘penghargaan diri’. Di mana saya sendiri akui, diri saya sendiri sudah lama tidak menerima penghargaan (acknowledgment) dari diri saya sendiri.

Persoalan yang sama ingin saya lontarkan kepada pembaca sekalian.
Bilakah kali terakhir kamu memberikan penghargaan kepada diri kamu sendiri? 

Bagi saya-entah bila, tak tercongak tahunnya.


Setiap manusia punyai matlamat hidup. Ada yang besar ada yang kecil. Ada yang dapat dicapai atau peroleh dalam jangka masa yang panjang, ada yang dapat diperoleh dalam jangka masa pendek. Dan apabila diri masing-masing mempunyai matlamat hidup, pastilah akan terselit gerak hati atau niat untuk mencapai matlamat tersebut. Mungkin tanpa kita sedari, walaupun mungkin kita masih belum mencapai matlamat tersebut, tapi kita ada menyumbang untuk mendekati dan menghampiri matlamat itu samada kita sedari atau tidak. Jadi, selain daripada mendapat penghargaan atau perhatian orang sekeliling kita, adalah lebih baik jika kita memberi penghargaan kepada diri kita sendiri.

Apa pentingnya penghargaan diri sendiri ini?
Memang benar, kita secara semulajadinya menyukai perhatian atau penghargaan dari orang lain untuk membuatkan diri kita terasa dihargai. Tetapi, sedari atau tidak, menghargai diri sendiri adalah lebih telus dan ia dapat meningkatkan semangat kita sendiri.

Kita sering melihat segelas cawan itu separuh kosong lalui menghukum atau menilai kemampuan diri di tahap yang rendah dan melabelkan diri sendiri lemah dan tidak berupaya. Tetapi, mengapa kita tidak melihat gelas tersebut separuh penuh?



Lihatlah apa yang setakat ini yang kamu telah lakukan untuk mencapai ke arah matlamat yang kamu tanamkan pada diri kamu masing-masing?

Lihatlah apa kejayaan dan kemampuan diri yang telah kamu sumbangkan ke arah kejayaan menuju ke matlamat yang kamu idamkan?

Lihatlah apa langkah-langkah yang telah kamu lakukan untuk maju kehadapan setapak demi setapak?




Apabila perkara-perkara kecil itu dihubungkan, subhanallah, ia akan berfungsi sebagai seperti bahan api yang membakar keyakinan diri dan membawa kamu terus maju dengan lebih pantas.

Berkongsilah penghargaan diri ini dengan sahabat-sahabat yang dapat mendengar kisah ini tanpa menilai kamu (secara peribadi mahupun secara luaran kamu) dan dapat juga menghargai kamu. Ketahuilah, berkongsi kisah-kisah kejayaan ini akan dapat memulihkan kembali semangat kamu yang mungkin telah pudar dan merundum.

Juga, jangan lokek dan segan untuk menghargai sahabat-sahabat kamu yang lain walau pun sekecil mana sumbangan dan pengorbanan yang telah mereka lakukan kearah menuju matlamat yang sama atau yang berbeza dari kamu, asalkan ia berupa kebaikan dan berdasarkan lillahita’ala semata. Lihatlah kejayaan mereka tanpa bersikap prejudis atau iri hati. Sedar atau tidak , ia adalah hadiah terbaik yang kamu dapat berikan kepada orang lain sebagai satu balasan kepada kepercayaan dan kejujuran mereka berkongsi kisah mereka dengan kamu…

Dan pastinya, kepada Allah kita sama-sama berterima kasih kerana memberi kita masa dan tempoh untuk mendekatkan diri padaNya dan diberikan kita ilmu dan upaya untuk melakukan langkah-langkah tersebut.

Segala puji bagi Allah yang memiliki apa yang di langit dan apa yang di bumi dan bagi-Nya (pula) segala puji di akhirat. Dan Dia-lah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
[Saba':1]


Selamat menghargai diri kalian masing-masing!