Wednesday, July 22, 2009

Orang Tua di KTM

Pagi tadi saya berjalan keluar dari tren KTM
Di terminal sedang saya berjalan dari jauh sudah kelihatan seorang pakcik tua sudah berdiri separa buta berdiri memegang tongkat putih ditangan kiri, dan memegang sebakul kecil kotak tisu untuk dijual di tangan kanannya.

2-3 kali seminggu saya pasti bertembung dengan pakcik tua itu dan tak pernah sekali saya menghulur duit.
Tapi hari ini jiwa saya berlembut
Hati saya tersentuh…
Memang tidak wajar saya menyokong perbuatan pakcik tua itu untuk mengemis dengan menggunakan kecacatannya sebagai pelembut hati manusia untuk memberi wang lebihan jika tisu itu dibeli
Memang zalim jika saya menolong menambah wang perolehan pakcik itu kerana dengan wang-wang manusia lain pasti menyumbang kepada perbuatan tegar pakcik itu dan akan terus berkekalan tanpa kemajuan..

Cuma…
Siapa saya untuk menghakimi pakcik buta itu?
Siapa saya untuk menghina pakcik itu jika dia tidak nampak petunjuk itu?
Siapa saya jika pakcik itu belum pernah didampingi manusia ke jalan yang haq?

Semakin hampir pada pakcik itu saya bertekad untuk berhenti
Terus saya keluarkan syiling 50sen dan hulurkan pada tangan pakcik tua itu yang berkedut-kedut
“Saya ambil satu tisu ya pakcik” sambil saya genggam kemas tangannya yang kasar itu waktu syiling bertukar tangan.
“Baik…”jawabnya lembut sambil teraba-teraba menyimpan syiling itu ke dalam begnya yang lusuh warna merah hati disandang di bahu kanan.
Kelihatan uban-uban putih memenuhi kepalanya yang bersongkok hitam kecil…
Entah bila songkok itu dibeli tak dapat saya gambarkan…

Waktu berjalan pergi setitis air mata saya mengalir laju
Entah kenapa jiwa saya akhir-akhir ini amat lemah
Amat menyedihkan…dan amat memilukan
Saya pandang langit yang belum lagi terang dengan kehadiran matahari pagi,
Menjerit di hati “Ya Allah mengapa Islam masih begini lemah??”
Terus wajah ayah saya muncul dalam ingatan..Kalaulah pakcik tua itu ayah saya, apa sanggup saya biarkan dia di situ setiap hari…?Pasti tidak..

Dan jawapannya dia juga manusia, yang punya perasaan dan hati
Dia tidak meminta sedekah, cuma terbatas menjual tisu paket
Dia tidak langsung mengeluh dan hanya tersenyum pada setiap manusia-manusia yang tergesa-gesa melangkah ke tempat kerja memikirkan periuk nasi diri dan keluarga sendiri…
Dia juga seorang Islam, darah daging dan tulang belulang dari Adam, umatnya Muhammad
Dan justeru….dia juga keluarga saya yang sekelumit pun tidak layak untuk saya biarkan dia begitu.

Syiling 50sen itu tak bermakna sedikit pun untuk membantu hidup pakcik tua itu
Tidak sedikitpun mampu mengubah nasib orang-orang Islam yang lemah dan miskin di luar sana
Apa yang saya lakukan hari ini untuk membantu membaiki hidup mereka, hidup saya, hidup orang Islam?
Dan apa yang kamu lakukan hari ini untuk mengubah keadaan Islam yang menyedihkan ini?

Lumrahnya ada tercatit rapi di dalam qalam Allah di dalam kitab itu….
Jangan sedikitpun saya dan kamu merasa bangga dan serba cukup dengan ibadah yang telah atau sedang kita lakukan selagi manusia seperti pakcik tua itu ada di muka bumi ini….
Selagi itulah kita sama-sama pastikan untuk teruskan berjuang dan membuang hasad dengki dan iri hati sesama kita sendiri….
Pakcik tua…Kamu umpama ayahku, kamu keluargaku dan kamu saudaraku…
Hari ini kamu beri saya satu pelajaran yang terkadang saya lupa dan leka untuk mengerti…
Yang kita sama saja..


July 22nd , 2009

No comments:

Post a Comment